MODUL 5

JENAYAH DALAM ADAT PERPATIH

SINOPSIS

Modul 5 mengandungi huraian mengenai konsep jenayah yang diamalkan dalam masyarakat Adat Perpatih serta perbandingannya dengan konsep jenayah di dalam Islam.  Dua konsep ini dihuraikan secara terperinci mengikut pembahagian-pembahagian tertentu yang terdapat di dalam konsep jenayah di dalam Islam dan Adat Perpatih. Modul ini juga menyatakan hukum amalan Adat Perpatih dari sudut pandang syarak.

OBJEKTIF MODUL

  1. Menjelaskan definisi jenayah dalam Islam dan jenayah dalam sistem Adat Perpatih di Malaysia.
  2. Membincangkan persamaan dan perbezaan sifat, sumber dan kategori jenayah di antara sistem jenayah dalam Islam dan jenayah Adat Perpatih.
  3. Menghuraikan kaedah pembuktian serta hukuman dalam jenayah Islam dan Adat Perpatih secara terperinci.

DEFINISI JENAYAH DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM DAN UNDANG-UDANG ADAT

Takrifan Jenayah dalam Undang-Undang Islam

Adalah segala bentuk kesalahan yang dilarang oleh Syariah sama ada tindakan itu ke atas nyawa, tubuh badan, harta atau sebagainya, yang boleh dihukum berdasarkan hukum Allah.

Takrifan Jenayah dalam Undang-Undang Adat

Adalah segala bentuk perbuatan jahat sama ada kecil atau besar yang dilarang oleh adat dan agama, sama ada mengenai nyawa, tubuh badan, harta benda dan sebagainya.

 

SIFAT PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH DALAM ISLAM DAN HUKUM ADAT

Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah dalam Islam

Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah dalam Islam dilakukan atas tujuan menghukum dan berpegang terhadap prinsip pembalasan. Perlaksanaan sesuatu hukuman akan dibuat dengan tegasnya agar ia dapat memberi iktibar, pengajaran serta amaran kepada orang lain supaya tidak melakukannya.

Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah dalam hukum adat.

Undang-Undang Jenayah Adat, terutamanya dalam Undang-Undang Adat Perpatih, lebih bersifat kepada pemulihan, pengajaran, berperikemanusiaan, serta bertimbang rasa. Hal ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

SUMBER HUKUM JENAYAH DALAM ISLAM AND UNDANG-UNDANG ADAT

Jenayah dalam hukum Islam bersumberkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah, manakala dalam Undang-Undang Adat ia bersumber kepada Adat dari turun temurun.

 

KATEGORI JENAYAH DALAM HUKUM ISLAM DAN UNDANG-UNDANG ADAT PERPATIH

Hukum Jenayah dalam Undang-Undang Islam

Undang-undang Islam membahagikan jenayah kepada tiga pembahagian utama berasaskan kepada hukuman yang dikuatkuasakan:

QISAS DAN DIYAT:

Adalah hukuman berkaitan dengan hak individu mangsa atau walinya. Umpamanya setelah hakim mendapati seseorang itu bersalah kerana membunuh, wali mereka boleh memilih samada untuk meneruskan hukuman qisas atau menggantikannya dengan diyat atau memaafkannya.

HUDUD:

Adalah hukuman yang berkaitan dengan hak Allah yang telah ditetapkan dengan jelas di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud melibatkan kesalahan zina, qazaf, mencuri, hirabah, minum arak, dan murtad. Hukuman hudud ini kekal dan tidak boleh diubah sehingga hari kiamat.

TA’ZIR:

Adalah hukuman selain dari hudud dan qisas. Hukuman bagi kesalahan di bawah qisas ini ditentukan oleh pemerintah atau hakim sesuai dengan suasana, penjenayah, kesalahan dan faktor lain.

Hukum Jenayah dalam Undang-Undang Adat Perpatih

Dalam Undang-Undang Adat, terutamanya Adat perpatih, jenayah dikategorikan kepada dua, iaitu seperti berikut:

Jenayah besar yang melibatkan nyawa, tubuh badan dan harta benda.

Dalam amalan adat Perpatih terdapat undang-undang yang dikenali sebagai Undang-Undang Nan Lapan, maksudnya lapan jenis kesalahan, iaitu, membunuh (tikam bunuh), berzina (sumbang salah), mencuri (maling curi), menyamun (samun sakal), memberontak (dahaga dahagi), rasuah (umbuak umbai), membakar (siar bakar), dan santau menyantau (upas racun).

Kesalahan adat atau pantang larang dalam adat.

Dalam amalan adat Perpatih dikenali sebagai Kesalahan Sumbang Dua Belas, iaitu: sumbang pemandangan, sumbang percakapan, sumbang perjalanan, sumbang kedudukan, sumbang salah, dahaga dahagi, kerut muka, memaki hamun, buruk bunyi, bunting buntang, pecah berita kejahatan dan berdalih kata berhadapan.

KAEDAH PEMBUKTIAN JENAYAH DALAM HUKUM ISLAM DAN UNDANG-UNDANG ADAT

1. PEMBUKTIAN JENAYAH DALAM HUKUM ISLAM

Dalam undang-undang jenayah Islam, kaedah pembuktian bagi setiap jenayah yang dilakukan adalah lebih kurang sama dengan undang-undang adat, hanya terdapat sedikit sahaja perbezaan yang wujud.

Sebagai contoh, dalam jenayah membunuh, kesalahan boleh disabitkan sekiranya adanya 2 orang saksi yang arif yang menyaksikan pembunuhan, pengakuan dari pesalah dan sumpah.

Manakala dalam jenayah zina pula, kesalahan boleh disabitkan jika adanya 4 orang saksi lelaki yang adil, atau pengakuan dari penzina itu sendiri ataupun melalui sumpah.

Jenayah curi juga boleh disabitkan jika adanya 2 orang saksi yang adil atau pengakuan pencuri itu atau melalui sumpah.

2. PEMBUKTIAN JENAYAH DALAM HUKUM ADAT

Di dalam sistem hukum jenayah adat, pembuktian adalah perlu bagi menentukan sama ada satu dakwaan atau pertuduhan itu benar atau tidak sebelum dijatuhkan hukuman yang telah ditetapkan oleh adat dan syarak. Ia membicarakan tentang tanda-tanda kesalahan atau bukti awal sebelum sesuatu kesalahan dilakukan.

Dalam hal ini adalah penting mempunyai saksi, sumpah dan pengakuan, di samping mengekalkan kaedah asal iaitu tanda-tanda kesalahan.

Sebagai contoh, dalam Undang-Undang Nan Dua Belas, terdapat 12 tanda kesalahan yang dinyatakan yang boleh menjadi sebagai penguat hujah sebelum kesalahan jenayah disabitkan, antaranya:

  1. Mempunyai saksi yang menyaksikan perlakuan berlari cepat membawa barang-barang sejurus selepas berlakunya kecurian. (perbuatan yang menimbulkan kecurigaan)
  2. Kata-kata orang ramai yang menyebabkan seseorang disyaki, seperti dua orang teruna dan dara duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi.
  3. Seseorang yang biasa melakukan jenayah atau dikenali dengan tabiatnya yang sering melakukan jenayah boleh disyaki.
  4. Seseorang yang telah ditangkap basah ketika sedang melakukan jenayah persetubuhan haram

Manakala bagi jenayah berat (Undang-Undang Nan Lapan) pula, antaranya:

  1. Jenayah membunuh, memukul dan mencederakan boleh disabitkan dengan tiga cara iaitu saksi (2 orang saksi), pengakuan dan sumpah.
  2. Jenayah zina boleh disabitkan dengan tiga cara iaitu empat orang saksi lelaki yang adil, pengakuan yang dibuat oleh penzina dan qarinah (seperti perempuan yang mengandung tanpa suami).
  3. Jenayah curi boleh disabitkan dengan tiga cara iaitu dua orang saksi yang adil, serta pengakuan daripada pencuri dan sumpah dari orang yang disyaki mencuri.

HUKUMAN KE ATAS KESALAHAN JENAYAH DALAM HUKUM ISLAM DAN UNDANG-UNDANG ADAT

1. HUKUMAN KESALAHAN JENAYAH DALAM ISLAM

Dalam undang-undang Islam contoh jenayah dan hukuman yang dikenakan adalah seperti berikut:

  1. Jenayah bunuh mempunyai beberapa jenis, antaranya, bunuh dengan sengaja (dengan niat), bunuh tanpa sengaja (tiada niat) dan bunuh yang menyerupai sengaja. Bagi jenayah bunuh sengaja, hukumannya sama dengan undang-undang adat iaitu bunuh balas (qisas), namun begitu, seandainya waris si mati atau mangsa memaafkan si penjenayah maka hendaklah dia membayar ganti rugi dalam bentuk harta dan kadarnya adalah mengikut persetujuan waris si mangsa. Seandainya waris si mangsa memaafkannya dan tidak berkehendakkan ganti rugi maka tiadalah hukuman ke atasnya.
  2. Jenayah zina, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah adalah lebih kurang sama dengan undang-undang adat iaitu, 100 kali rotan dan buang negeri bagi pasangan yang belum berkahwin, dan rejam sampai mati bagi pasangan yang berkahwin (hudud).
  3. Jenayah mencuri, hukuman bagi kesalahan mencuri adalah potong tangan kanan iaitu di bahagian pergelangan tangan pada sendi yang menyambungkan tapak tangan dengan lengan. Bagi kesalahan kedua, dikenakan hukuman potong kaki kiri di pergelangan buku lali iaitu di bahagian tengah kaki, manakala tumit kaki masih boleh digunakan untuk berdiri atau berjalan (hudud).

2. HUKUMAN KESALAHAN JENAYAH DALAM HUKUM ADAT

Contoh jenayah dan hukuman yang dikenakan:

  1. Dalam perbilangan adat, hukuman bagi jenayah bunuh adalah dengan bunuh balas, ini kerana dalam undang-undang adat hanya terdapat satu jenis   bunuh sahaja iaitu bunuh dengan sengaja.
  2. Hukuman jenayah zina terbahagi kepada 2, bagi pasangan yang belum berkahwin, hukuman ke atas nya adalah seratus kali rotan dan dibuang negeri, dan pasangan yang belum berkahwin, hukuman ke atas mereka adalah rejam sampai mati.
  3. Hukuman bagi jenayah mencuri ialah dengan memotong tangannya sesuai dengan jenayah yang dilakukannya. Anggota yang dipotong ialah setakat sendi tapak tangan mengikut kesesuaian hukum syarak.

KEPATUHAN SYARIAH HUKUM JENAYAH DALAM ADAT PERPATIH

Berdasarkan persamaan dan perbezaan yang telah dihuraikan di atas, jelas menunjukkan bahawa tiada unsur amalan jenayah dalam Adat Perpatih bercanggah dengan hukum syarak. Ini bertepatan dengan konsep kaedah fiqh Al-Adah Muhakkamah (Adat itu menjadi hukum yang dirujuk) selagi mana tidak bercanggah dengan mana-mana dalil daripada al-Qur’an mahupun Sunnah.

Disamping itu, kewujudan nilai-nilai luhur yang terkandung dalam amalan undang-undang jenayah adat Perpatih, seperti konsep hukuman adalah bertujuan untuk pemulihan, bersifat memberi pengajaran, bertimbang rasa dan memberi kesedaran kepada masyarakat. Nilai-nilai ini bertepatan dengan maqasid al-Syariah dalam perlaksanaan hukuman dalam Islam iaitu menjaga nyawa (hifz al-nafs).