MODUL 4

HARTA DALAM ADAT PERPATIH

SINOPSIS

Modul 4 membincangkan kaidah fiqh yang digunapakai dalam merujuk kedudukan dan pembahagian tanah adat Perpatih sebagai harta pusaka, pengertian dan kedudukannya untuk dijadikan sebagai rujukan dalam memberi hukum ke atasnya. Seterusnya, membahaskan ahli waris tanah adat Perpatih, pandangan ulama dan enakmen perundangan yang dirujuk sehingga boleh menentukan kedudukan harta terhadap tanah adat tersebut.

OBJEKTIF MODUL

  1. Mengenalpasti kaedah fiqh yang menjadi rujukan tanah adat Perpatih sebagai harta pusaka.
  2. Menjelaskan kedudukan tanah adat dan ahli waris berasaskan sumber hukum Islam yang tepat.
  3. Mendedahkan pandangan ulama dan enakmen yang dijadikan rujukan dalam menghukum tanah adat Perpatih.

KEDUDUKAN TANAH DALAM SISTEM PUSAKA MENURUT ADAT PERPATIH

Terdapat beberapa jenis harta dalam Adat Perpatih; iaitu harta pusaka, harta carian, harta pembawa dan harta dapatan. Tanah adat termasuk dalam kategori harta pusaka iaitu harta benda yang diperturunkan kepada generasi dibawahnya.  Harta pusaka terbahagi kepada dua iaitu pusaka benar dan pusaka sendiri.  Pusaka benar ialah harta pusaka suku yang terdiri daripada tanah-tanah, sawah, dusun dan rumah yang diwarisi ibu ke atas tanah tersebut.

Pewarisan pusaka benar ini hanya diberikan kepada anak perempuan sesuku turun-temurun. Jadi, tanah yang menjadi harta pusaka ini didaftarkan atas nama waris perempuan sahaja tetapi anak lelaki tidak boleh didaftarkan nama atas tanah tersebut. Walau bagaimanapun mereka boleh tinggal dan mengusahakan tanah tersebut.

Manakala pusaka sendiri merupakan harta yang diwarisi oleh seorang anak daripada orang tuanya. Harta ini tidak terhad kepada wanita sahaja, kaum lelaki dan waris yang lain berhak menuntut bahagiannya.

Konsep pusaka dalam masyarakat Adat Perpatih boleh dibahagikan kepada pusaka tinggi dan pusaka rendah. Pusaka tinggi ialah harta yang dimiliki oleh lebih daripada satu generasi perempuan. Manakala pusaka rendah ialah harta yang yang belum diperturunkan atau diwariskan lagi dan ia boleh menjadi harta pusaka tinggi sekiranya diperturunkan kepada anak perempuan atau saudara perempuan dalam sesuatu suku mengikut nasab ibu. Sumber harta pusaka ini  sama ada daripada si ibu maupun si ayah sekiranya beliau ingin menjadikannya pusaka tinggi.

PEMBAHAGIAN HARTA CARIAN, HARTA PEMBAWA DAN HARTA DAPATAN DALAM AMALAN ADAT PERPATIH

1. HARTA CARIAN

Pembahagian harta berdasarkan sumber atau punca harta tersebut diperolehi dibahagikan kepada Carian Bujang dan Carian Laki Bini. Carian Bujang adalah harta yang diperolehi oleh lelaki semasa beliau  belum berkahwin dan apabila beliau meninggal dunia samada bujang atau sudah berkahwin maka harta itu akan dibahagikan menurut hukum faraid.

Harta Carian Laki Bini merupakan harta yang diperolehi bersama semasa tempoh perkahwinan seperti tanah, hasil ladang getah, alat-alat pertanian dan sebagainya.

2. HARTA PEMBAWA

Harta Pembawa adalah harta seseorang lelaki yang dimiliki semasa dia masih bujang. Jenis-jenis harta yang tergolong dalam harta pembawa ialah harta yang dihadiahkan oleh ibubapa kepada anak lelakinya , hadiah-hadiah daripada keluarga kepada anggota lelaki yang sudah berkahwin dan harta dari bahagiannya yang diperolehi hasil daripada pembahagian Harta Carian jika si lelaki sudah beristeri sebelum itu. Apabila lelaki berkenaan meninggal dunia, harta tersebut dibahagikan kepada warisnya.

3. HARTA DAPATAN

Harta yang dimiliki seorang wanita sewaktu perkahwinan dan dibahagikan kepada tiga jenis iaitu harta carian bujang atau anak dara, harta yang didapati apabila berlaku perceraian dan harta carian janda. Apabila wanita tersebut meninggal dunia, harta dapatan ini diwariskan kepada anak perempuannya.

PRINSIP-PRINSIP UTAMA TANAH ADAT DALAM ADAT PERPATIH

Terdapat empat prinsip asas tanah adat, iaitu:-

A. Hak pemilikan adalah kembali kepada suku: Ini bermakna tanah adat tidak boleh dimiliki oleh individu sekalipun namanya tercatat dalam geran tanah tersebut seolah-olah beliau sebagai pemilik mutlak tanah tersebut. Hak pemilikan suku ini juga termasuk carian yang dikerjakan oleh individu/perempuan tersebut dan keluarganya.

B. Hak perwarisan hanya kepada keturunan perempuan: Adat pepatih meletakkan perempuan sebagai kunci maruah kepada suku. Jadi hak mewarisi tanah adat diberikan sebagai mengenang jasa mereka yang melahir dan mendidik anggota suku. Selain sebagai tanda penghormatan, medium perlindungan dan pengangkatan martabat mereka. Apabila si ibu meninggal dunia maka tanah adat ini diwariskan kepada,

anak-anak perempuannya, jika tiada

kedim perempuan serumpun

kedim perempuan seruang

kedim perempuan seperut

saudara perempuan dalam suku terdekat

saudara perempuan dalam suku yang jauh

Walaupun lelaki tidak dibenarkan mewarisi tanah adat tetapi ia tidak menafikan hak lelaki untuk menjadi penghuni sepanjang hayat (life occupant) kepada tanah adat.Ini bermaksud waris lelaki sama ada anak lelaki atau saudara lelaki seibu sebapa boleh didaftarkan sebagai penghuni sepanjang hayat walaupun waris wanita yang hidup didaftar sebagai pemilik tanah adat tersebut.Ini kerana adat hanya melarang waris lelaki mewarisi tanah adat tetapi tidak melarang waris lelaki mengambil hasil daripada tanah tersebut. Seperti dalam perbilangan;

Terbit pesaka kepada saka,

Si lelaki menyandang pesaka

Si perempuan yang punya pesaka

Orang semenda yang membela.

C. Hak sama rata dalam pembahagian tanah: perwarisan ini adalah berasaskan prinsip kesamarataan. Sekiranya seorang waris perempuan yang tinggal maka beliau mewarisi keseluruhan harta tersebut. Sekiranya lebih dari seorang maka tanah tersebut dibahagi sama rata. Sekiranya si mati meninggalkan dua bidang tanah yang berbeza lokasi dan nilai ekonominya, pembahagian boleh didasarkan kepada du acara. Pertama, penentuan hak boleh dibuat melalui perundingan dan persetujuan bersama. Kedua, jika tiada kata sepakat maka setiap bidang tanah dimasukkan nama-nama waris perempuan yang layak sebagai pemilik bersama.

D. Pewarisan hanya memberi hak memanfaat dan bukan menjual beli: Ini bermaksud tanah adat tidak boleh dijual atau digadai kecuali atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan. Mereka yang berhak menghalang penjualan dan penggadaian ialah kedim, waris dan yang tua.  Persetujuan ketiga-tiga kategori pihak ini mesti diperolehi khasnya kedim. Waris kedim mempunyai kuasa melintang atau sah batal, manakala waris biasa tidak begitu kuat, Cuma menongkat.  Terakhir ialah Buapak dan Lembaga. Sekiranya tiada halangan daripada ketiga-tiga pihak ini transaksi dibenarkan dengan keutamaan diberikan kepada waris terdekat dengan harga berpatutan.  Penjualan atau penggadaian dibuat mestilah atas alasan-alasan yang dibenarkan sahaja iaitu untuk keperluan:

  1. menguruskan kematian
  2. Menunaikan haji ke Mekah
  3. menjaga  maruah seperti membaiki rumah pusaka yang telah rosak
  4. menguruskan perkahwinan anak perempuan yang telah lanjut umur
  5. membayar denda bagi kesalahan besar dilakukan waris lelaki.

UNDANG-UNDANG YANG TERPAKAI BERKAITAN TANAH ADAT

Tanah adat di Negeri Sembilan adalah di tadbir berdasarkan peruntukan Enakmen Pemegangan Adat Bab 215 dan Enakmen Pemegangan Adat (Tanah Lengkongan) Tahun 1960. Enakmen Pemegangan Adat Bab 215 menjadi asas pentadbiran kepada tanah-tanah adat di daerah Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Rembau, Tampin dan daerah kecil Gemas. Dari segi pentadbiran adat, ia meliputi wilayah-wilayah Adat Luak Tanah Mengandung (Luak Ulu Muar, Luak Terachi, Luak Inas, Luak Gunung Pasir, Luak Jempol), Luak Jelebu, Luak Rembau, Wilayah Adat Tengku Besar Tampin, Luak Gemencheh dan Wilayah Adat Penghulu Pusaka Air Kuning.

Walaubagaimanapun, enakmen ini tidak terpakai bagi daerah Seremban dan Port Dickson kerana kedua daerah ini tidak mempunyai tanah adat. Bagi Enakmen Pemegangan Adat (Tanah Lengkongan) Tahun 1960 pula ia terpakai untuk mentadbir tanah-tanah adat lengkongan di daerah Kuala Pilah sahaja, atau dari segi pentadbiran adat ia meliputi Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir dan sebahagian daripada Luak Jempol.

Secara pentadbirannya, tanah adat di negeri Sembilan adalah dikategorikan sebagai Tanah Rezab Melayu. Di Malaysia, peruntukan undang-undang menetapkan beberapa bahagian dan kawasan tanah di setiap negeri sebagai Tanah Rezab Melayu yang dilarang dipindah milik kepada golongan bukan Melayu. Tanah pusaka adat di Negeri Sembilan adalah termasuk didalam kategori Tanah Rezab Melayu. Namun tidak semua tanah rezab di semua negeri merupakan tanah adat seperti mana yang wujud di beberapa daerah di Negeri Sembilan.

Kajian Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah merumuskan beberapa perkara penting berkaitan kedudukan tanah adat dalam Islam:

  1. Tanah adat   merupakan tanah milik suku, bukan milik peribadi yang tidak boleh dijual atau digadai mengikut Adat Perpatih.
  2. Penama yang terdapat dalam Surat hakmilik yang diberikan oleh Pejabat tanah adalah pemegang amanah atas tanah tersebut.
  3. Penama mempunyai peranan dan tanggungjawab seperti yang terdapat dalam Adat Perpatih berlegar sekitar pemuafakatan dan perkongsian manfa’at dengan waris dalam suku.
  4. Tanah adat tidak termasuk dalam harta yang difaraidkan kerana tidak terdapat pemilikan mutlak dan sempurna atas tanah tersebut.
  5. Tanah adat atau pusaka tidak dapat dianggap sebagai wakaf zurri kerana kedudukan tanah adat sebagai hakmilik suku bukan individu.
  6. Jenis-jenis tanah atau harta yang lain selain tanah adat yang termasuk di bawah tanah atau harta bawaan, harta dapatan dan harta carian adalah dibahagikan mengikut sistem pewarisan faraidh.
  7. Pewarisan tanah adat di Negeri Sembilan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

STATUS TANAH ADAT SEBAGAI  TANAH PUSAKA DAN WAKAF

Selain, hibah dan wasiat, terdapat pandangan yang mengatakan bahawa tanah adat ini bersesuaian dengan konsep wakaf atau lebih spesifik lagi wakaf zurri. Wakaf ialah menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak milik harta tersebut hanya kepada ahli keluarga termasuk anak, cucu dan keturunannya.

Walau bagaimanapun terdapat perbezaan antara konsep wakaf zurri dengan pewarisan tanah adat khususnya berkaitan dengan al-mawquf iaitu harta yang diwakafkan.

Pertama, syarat harta yang ingin diwakafkan mestilah dimiliki secara sempurna oleh pewakaf. Sedangkan pemilikan tanah adat adalah secara bersama iaitu milik suku malah pemindahan hak milik perlu mendapat persetujuan daripada Undang sebagai ketua adat sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Kedua, status tanah wakaf tidak boleh dibatalkan. Sekiranya terjadi pengambilan tanah wakaf atas sebab yang syarie, ia mestilah diganti (istibdal) dengan tanah lain yang sama nilainya atau lebih tinggi daripada tanah asal. Sebaliknya, status tanah adat boleh dibatalkan jika permohonan dibuat atas sebab ketidakwujudan waris yang boleh mewarisi tanah tersebut. Malah, tanah adat juga boleh dan dibenarkan untuk digadai atau dijual dengan sebab-sebab tertentu dengan keizinan Ketua adat atau Undang. Ini bertentangan sama sekali dengan konsep wakaf dalam Islam.

STATUS HUKUM TANAH ADAT SEBAGAIMANA HUKUM HIBAH

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa tanah adat adalah didasari oleh konsep hibah dalam Islam. Justeru satu analisa perlu dibuat untuk memastikan kesahihan teori ini.

Dari segi istilah syarak, hibah merupakan aqad perpindahan hak milik sesuatu benda tanpa imbalan semasa hayat seseorang secara sukarela. Rukun hibah ialah pemberi hibah, penerima, barang yang dihibah dan sighah atau lafaz hibah.

Perbezaan yang jelas antara hibah dan undang-undang pewarisan tanah adat ialah hibah adalah pemberian individu kepada individu lain semasa hayatnya sedangkan pewarisan tanah adat boleh berlaku sebelum atau selepas kematian pemilik asal tanah tersebut. Kemudian pemberi hibah adalah berkuasa penuh terhadap harta yang ingin dihibahkan atau dengan kata lain ia hartanya sendiri manakala pemilik tanah adat tidak mempunyai kuasa penuh terhadap tanah adat. Jika seseorang ingin memindahkan tanah tersebut kepada orang lain, ia perlu mendapat persetujuan daripada ketua adat (Undang). Justeru konsep hibah tidak boleh dijadikan asas kepada penerimaan konsep dan amalan tanah adat.

STATUS HUKUM TANAH ADAT SEBAGAIMANA HUKUM WASIAT

Pandangan ini menyatakan bahawa konsep tanah adat adalah sama dengan konsep wasiat dalam Islam.  Walau bagaimanapun wujud perbezaan undang-undang adat dengan konsep wasiat.

Pertama, pemindahan hak milik dalam wasiat berlaku hanya selepas kematian sedangkan pemindahan hak milik tanah adat boleh berlaku selepas dan sebelum kematian dengan syarat mendapat persetujuan daripada ketua adat iaitu Undang.

Kedua, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris sama ada lelaki maupun perempuan kecuali mendapat persetujuan daripada ahli waris yang lain. Manakala pewarisan tanah adat hanya diberikan kepada waris perempuan daripada keluarga pemilik asal tanah tersebut. Jika tiada waris perempuan, maka pemilikan tanah adat tersebut akan diberikan kepada perempuan daripada suku yang sama melalui urutan yang lebih akrab.

Ketiga, pemilikan harta dalam wasiat mestilah tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta  si mati. Manakala dalam tanah adat, tidak diletakkan syarat sedemikian untuk tujuan pembahagian tanah tersebut. Justeru wasiat  juga tidak boleh dijadikan asas penerimaan konsep dan amalan tanah adat.

STATUS HUKUM TANAH ADAT SEBAGAIMANA HUKUM AMANAH.

Berdasarkan penelitian ciri-ciri tanah adat, didapati hukum tanah adat dalam Adat Perpatih menepati konsep amanah dalam Islam.  Alasannya adalah seperti berikut:

  1. Tanah adat adalah tanah yang diwariskan atau diamanahkan hanya kepada waris perempuan. Justeru ia mesti diwariskan kepada waris perempuan sahaja. Walau bagaimanapun ia tidak menjadikannya pemilik mutlak atau sempurna tanah tersebut.
  2. Tanah adat tidak boleh dijual dan digadai kecuali dengan syarat-syarat tertentu dengan mendapat keizinan daripada Dato’ Lembaga. Ia mestilah dijual kepada waris perempuan daripada suku yang sama.

Peraturan berkaitan dengan tanah adat seperti yang dinyatakan diatas tidak bertentangan dengan hukum syarak dan perlu dipatuhi. Tujuan peraturan ini dibuat adalah untuk melindungi maruah dan kebajikan kaum perempuan secara khusus dan kepada kaum lelaki secara amnya.

KAIDAH FIQH SEBAGAI RUJUKAN STATUS TANAH ADAT DALAM AMALAN ADAT PERPATIH

Kaedah fiqh yang dirujuk dalam pembahagian tanah adat Perpatih ini adalah Al-adah muhakkamah (Adat sebagai hukum yang dirujuk). Adat adalah sesuatu perbuatan atau perkataan yang terus menerus dilakukan oleh manusia kerana dapat diterima akal dan mereka mengulanginya secara berterusan. Al-Adah muhakkamah merupakan kaedah kelima daripada kaedah-kaedah fiqh yang utama dan mengandungi beberapa kaedah furu’ (cabangan) yang lain.

Al-Adah muhakkamah secara   bahasa   diambil   dari  kata   al-aud   atau al- mu’awadah yang bererti berulang. Adat sama dengan ‘uruf kerana situasinya yang sama walaupun dengan ungkapan yang berbeza. ‘Uruf didefinisikan sebagai apa yang diketahui manusia dan mengulanginya dalam ucapannya dan perbuatannya sampai hal tersebut menjadi biasa dan berlaku umum. ‘Uruf ialah sesuatu yang telah diketahui oleh ramai orang dan dikerjakan oleh mereka dari perbuatan dan perkataan atau sesuatu yang ditinggalkan. Dua istilah ini (Adat dan ‘Uruf) dalam bahasa ilmu syarak tidak ada perbezaan di antara keduanya.

Dalam pewarisan harta yang berupa tanah adat dalam amalan adat Perpatih, perlu terlebih dahulu dilihat melalui kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat setempat sehingga hukum yang ditetapkan itu tidak bertentangan atau menghilangkan kemaslahatan masyarakat tersebut.

Adat (uruf) boleh diterima sebagai dalil untuk menetapkan hukum Islam, dengan syarat apabila tidak ada nas yang menjelaskan hukum suatu masalah yang dihadapi.  Adat seperti ini termasuk adat dalam bentuk amali.

SATUS PEREMPUAN SEBAGAI WARIS TANAH (TANAH PUSAKA) ADAT DALAM AMALAN ADAT PERPATIH.

Waris ialah orang yang terdekat dan mempunyai hubungan dengan si mati yang mana mereka ini yang berhak mendapat bahagian di dalam pembahagian harta pusaka. Di dalam Adat Perpatih, waris terbahagi kepada empat seperti berikut:

Pertama: anak perempuan si mati. Jika anak perempuan si mati hanya seorang, maka semua harta pusaka tersebut akan dimiliki olehnya. Jika si mati mempunyai ramai anak perempuan, maka harta tersebut akan dibahagikan secara persetujuan bersama. Jika tidak ada persetujuan, harta tersebut akan dibahagikan sama rata.

Kedua: waris ikrab, iaitu kakak dan adik perempuan si mati. Jika si mati tidak meninggalkan anak perempuan, maka harta tersebut akan turun kepada waris ikrab.

Ketiga: waris bersanak, iaitu jika waris ikrab tiada, harta itu akan dibahagikan kepada waris bersanak yang terdekat mengikut susunan iaitu sanak ibu iaitu keluarga satu pupu, sanak datuk iaitu keluarga dua pupu, sanak nenek iaitu keluarga tiga pupu dan sanak moyang iaitu keluarga empat pupu.

Keempat: anak angkat. Harta pusaka boleh diwarisi oleh anak angkat dengan syarat kesemua waris di atas tiada atau jika waris yang berhak bersetuju bahagian tersebut ‘diberi’ kepada anak angkat berkenaan. Perkataan ‘diberi’ merujuk kepada bahagian yang telah diperuntukkan di dalam harta pusaka.

JUSTIFIKASI PANDANGAN ULAMA DALAM PEMBAHAGIAN HARTA TANAH ADAT DALAM AMALAN ADAT PERPATIH

Amalan pewarisan tanah adat telah menjadi peraturan turun temurun di sebahagian Negeri Sembilan yang berasal daripada Minangkabau sebelum mereka masuk Islam lagi. Amalan ini juga tidaklah bertentangan dengan maqasid al-syari’ah yang bertujuan menjaga lima perkara iaitu agama (al-din), nyawa (al-nafs), akal (al-‘aql), nasab (al-nasab) dan harta (al-mal).

Oleh itu, adat ini juga telah diperkuatkan lagi oleh Islam dengan kaedah-kaedah fiqh seperti adat sebagai rujukan hukum (al-‘adah muhakkamah) dan Penentuan hukum berdasarkan ‘uruf sama seperti penentuan hukum berdasarkan nas (al-ta’yin bi al-‘urf ka tl- ta’yin bi al-nas). Kesimpulan yang dihasilkan adalah sebagaimana berikut:

Tanah adat merupakan tanah milik suku, bukan milik peribadi, yang tidak boleh dijual atau digadai mengikut amalan Adat Perpatih.

Penama yang terdapat dalam Surat Hak Milik yang diberikan oleh Pejabat Tanah adalah pemegang amanah atas nama tersebut.

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah menerbitkan buku bertajuk “Pewarisan Tanah Adat : Kebenaran Perlaksanaannya Menurut Islam” bertujuan untu dijadikan rujukan dan bacaan umum masyarakat pelbagai peringkat. Hal ini adalah kerana topik Adat Perpatih ini sering dihangatkan dan sering disalahfahamkan berkenaan dengan pemberian harta pusaka kepada kaum perempuan. Inisiatif buku ini diterbitkan adalah untuk memberikan pemahaman yang jitu kepada masyarakat berkaitan dengan pewarisan harta adat.

Sistem pewarisan harta pusaka di dalam Adat Perpatih adalah sistem yang teratur dan dapat diterima oleh masyarakat adat. Hal ini kerana di dalam adat, kaum perempuan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada kaum lelaki dan seharusnya mereka diberikan harta pusaka bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Namun begitu, harta pusaka di dalam Adat Perpatih bukanlah milik muktamad waris, tetapi ia sebenarnya adalah milik suku mereka. Waris hanya sekadar menjaga dan menjadi pemegang amanah sahaja. Manakala harta pusaka bukan adat pula adalah milik muktamad waris dan ia tidak terikat dengan undang-undang adat di dalam menggunakannya.

  1. Penama mempunyai peranan dan tanggungjawab seperti yang terdapat dalam Adat Perpatih berlegar sekitar permuafakatan dan perkongsian manfaat dengan waris dalam suku.
  2. Tanah Adat tidak termasuk dalam harta yang difaraidkan kerana tidak terdapat pemilikan mutlak sempurna atas tanah tersebut.
  3. Tanah adat atau tanah pusaka tidak dapat dianggap sebagai harta wakaf  dzurri, kerana kedudukan tanah adat sebagai hak milik suku, bukan individu.
  4. Jenis-jenis tanah atau harta yang selain tanah adat yang termasuk di bawah tanah atau harta bawaan, harta dapatan dan harta carian adalah dibahagikan mengikut sistem pewarisan faraid.
  5. Pewarisan tanah adat di Negeri Sembilan tidak bertentangan dengan ajaran Islam

ENAKMEN RUJUKAN UNTUK TANAH ADAT PERPATIH DI NEGERI SEMBILAN.

Tanah adat adalah merujuk kepada tanah di bawah hak milik Pejabat Tanah yang diwartakan di bawah Enakmen Pegangan Adat Bab 215 dan Enakmen Pegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960 dan ianya diwarisi secara turun temurun oleh sesuatu suku kaum secara berkelompok. Dalam sijil daftar tersebut tercatat nama suku atau kaum berkenaan. Tanah adat terdapat di Negeri Sembilan dan Melaka.

Enakmen Pemegang Adat Bab 215 digunakan untuk mentadbir adat-adat di Daerah Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Rembau, Tampin dan Daerah Kecil Gemas. Di Negeri Sembilan dari perspektif adat terdapat tiga belas wilayah adat iaitu Luak Sungai Ujung, Wilayah Adat Dato’ Muda Linggi, Luak Jelebu, Luak Rembau, Luak Ulu Muar, Luak Terachi, Luak Gunungpasir, Luak Inas, Luak Jempol, Luak Johol, Wilayah Adat Tunku Besar Tampin, Luak Gemencheh dan Luak Wilayah Adat Penghulu Pusaka Ayer Kuning.

Enakmen ini tidak terpakai bagi daerah Seremban dan Port Dickson kerana kedua-dua daerah ini tidak mempunyai tanah adat. Enakmen Pemegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960 dibuat khusus bagi tanah-tanah kepunyaan masyarakat “Adat Lengkongan” yang digunakan untuk mentadbir tanah-tanah Adat Lengkongan di daerah Kuala Pilah sahaja. Adat Lengkongan diamalkan oleh masyarakat keturunan bagi yang pernah berkhidmat dengan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.