MODUL 3

PERKAHWINAN DALAM ADAT PERPATIH

SINOPSIS

Modul 3 mengandungi huraian norma perkahwinan yang diamalkan dalam masyarakat Adat Perpatih. Sistem matrilineal yang dianut oleh masyarakat Adat Perpatih dan pengaruhnya terhadap amalan perkahwinan adat. Menjelaskan konsep syarak berkenaan dengan perkahwinan dan memberikan penjelasan apakah amalan yang dilaksanakan dalam Adat Perpati menepati kepiawaian hukum syarak.

OBJEKTIF MODUL

  1. Menjelaskan konsep perkahwinan dalam Islam.
  2. Mendefinisikan sistem matrilinieal.
  3. Menghuraikan sistem amalan perkahwinan dalam Adat Perpatih.
  4. Membincangkan amalan adat perkahwinan dalam masyarakat Adat Perpatih ditinjau dari pandangan syarak.
  5. Menghuraikan sejarah dan asal usul sistem materilienal dalam adat Perpatih.

SEJARAH DAN ASAL USUL SISTEM MATRILINEAL DALAM ADAT PERPATIH

Adat yang diamalkan di Negeri Sembilan dikenali sebagai Adat Perpatih, dan negeri ini sering disinonimkan dengan julukan nama Negeri Beradat. Adat Perpatih menggunakan sistem suku bercorak matrilineal yang mengambil garis keturunan daripada sebelah ibu. Ia amat berbeza dengan Adat Temenggung yang menitikberatkan keturunan sebelah bapa.

Pada mulanya ada beberapa orang pengkaji adat ini menganggap wanita-wanita di dalam masyarakat adat Perpatih ini berkuasa terhadap pihak lelaki. Oleh itu, masyarakat ini digelar sebagai masyarakat “matriarchal”. Namun setelah melakukan pemerhatian terhadap masyarakat ini dengan teliti, didapati anggapan mereka adalah salah. Kedudukan wanita dalam masyarakat ini pada dasarnya hanya dipentingkan setakat bertujuan menyusur-galurkan keturunan dan mengira kekeluargaan. Oleh itu, masyarakat ini tidak lagi dipanggil “matriarchal”.

Dalam adat Perpatih kaum perempuan disebut sebagai “bunda kandung”, ibu yang melahirkan anggota masyarakat atau “waris pusaka”. Sistem matrilineal menjadi dasar kepada keseluruhan tingkah dan dan tindak laku yang merangkumi sistem politik, ekonomi, sosial dan budaya masyarakat adat Perpatih.

AMALAN PERKAHWINAN DALAM ADAT PERPATIH

  1.  GALAKKAN BERKAHWIN BERDASARKAN SYARAK

Seperti yang termaktub di dalam Al-Qur`an dalam surah Ar-Rum: 21

ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة وحمة إن في ذلك لآيات لقوم يتفكرون (الروم: 21)

Ertinya:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa DIA menciptakan untuk kamu (wahai Kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan diajdikan-Nya di antara kamu (suami Isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan keasadaran) bagi orang-orang yang berfikir”. (Q.S: Ar-Rum 21)

Dan dalam Hadis Rasulullah SAW:

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج

Maksudnya:

“Wahai anak muda barangsiapa yang mampu untuk berkahwin maka hendaklah ia berkahwin. Sesungguhnya ia (berkahwin) dapat lebih menjaga pandangan dan lebih memelihara kemaluan”.

  1. RUKUN DAN SYARAT PERKAHWINAN DALAM ISLAM DAN ADAT PERPATIH

 RUKUN PERKAHWINAN DALAM ISLAM

  1. Lelaki dan perempuan yang tidak memiliki sebarang halangan untuk menikah
  2. Wali
  3. Saksi dua orang lelaki yang adil
  4. Shighah (Ijab dan Qabul)

 

SYARAT PERKAHWINAN DALAM ADAT PERPATIH

Dalam masyarakat Adat Perpatih perkahwinan dirujuk kepada perbilangan “syarak tidak menghalang adat tidak menggalang”. Ini bermakna perkahwinan hanya sah apabila diakadkan oleh wali atau wakilnya, bersaksi dan membayar mas kahwin. Dan perkahwinan juga harus sah dari segi adat, iaitu tidak melanggar pantang larang adat.

 

  1. JENIS-JENIS PERKAHWINAN DALAM AMALAN ADAT PERPATIH?

 

PERKAHWINAN NORMA PERSPEKTIF

Norma perspektif ialah eksogami yang melarang seorang lelaki menikahi seorang perempuan dari sukunya sendiri atau sesuku. Dalam masyarakat Adat Perpatih perkahwinan dilihat sebagai hubungan antara dua suku atau dua perut (ibu). Yang bermaksud perkahwinan yang digalakkan adalah antara dua orang yang berlainan suku (eksogami). Dan dipercayai bahawa sekiranya terjadi perkahwinan dalam suku yang sama keluarga itu tidak akan berkembang dan membesar. Perkahwinan yang ideal dalam masyarakat adat ini adalah antara pasangan yang berlainan suku, lain suku dan lain waris.

 

PERKAHWINAN NORMA PREFERENTIAL

Perkahwinan norma preferential ialah melakukan perkahwinan silang pupu, iaitu dengan anak gadis abang atau adik lelaki ibu; dan dengan anak gadis kakak atau adik perempuan ayah. Dalam bentuk pemilihan jodoh ini, walaupun mempunyai kaitan biologi yang sama  dengan hubungan pupu selari, tetapi oleh sebab masyarakat ini mengamalkan sistem nasab ibu, tergolong dalam persenakan yang berlainan.

  1.  PERKAHWINAN YANG DILARANG DALAM ADAT PERPATIH

Dalam masyarakat adat Perpatih, selain larangan perkahwinan menurut hukum syarak, terdapat juga larangan menurut adat. Larangan adat tersebut terbahagi kepada dua seperti berikut:

  1. Larangan perkahwinan sesuku (indogami) atau diistilahkan oleh adat sebagai sumbang melintang.
  2. Larangan perkahwinan antara saudara pupu selari.

 

PERKAHWINAN SUMBANG BALAI MELINTANG

Perkahwinan yang dilakukan oleh lelaki dan wanita yang memiliki suku yang sama (indogami). Dan ini adalah jenis perkahwinan yang terlarang dalam Adat Perpatih. Jika tetap dilaksanakan jenis perkahwinan indogami ini, maka perkahwinan ini dikatakan sebagai sumbang balai melintang.

 

PERKAHWINAN SEPUPU SELARI

Perkahwinan pupu selari boleh dibahagi kepada dua kategori, iaitu pupu selari sebelah ibu dan pupu selari sebelah ayah. Kategori pertama perkahwinan pupu selari ini adalah bersamaan dengan larangan sumbang balai melintang. Pasangan yang ada kaitan pupu selari sebelah ibu bermakna mereka adalah anggota daripada satu suku. Dan perkahwinan pupu selari kategori yang pertama dilarang. Larangan ini tidak terhad kepada tingkat pupu seibu tetapi juga jenis pupu klasifikasi, senenek misalnya. Larangan ini disebabkan pasangan itu menganggotai satu suku yang sama.

  1. PANDANGAN ISLAM TERHADAP AMALAN PERKAHWINAN SATU SUKU

Menurut hukum syarak, perkahwinan satu suku atau orang yang memiliki hubungan sanak kerabat dijelaskan seperti berikut:

Riwayat daripada Sahab Umar Bin al-Khattab RA mengenai tegahan untuk berkahwin dengan satu suku atau yang memiliki hubungan kerabat:

Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab RA bahawa dia menggalakkan berkahwin dengan orang yang jauh demi melahirkan zuriat yang kuat.

 

Pandangan beberapa fuqaha tentang galakkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak memiliki hubungan kerabat.

Imam Syafie menyebutkan bahawa disunnahkan bagi seorang lelaki untuk tidak berkahwin dengan perempuan dari kalangan kerabatnya atau sukunya. Dan alasan disebalik larangan ini adalah kerana di antara tujuan perkahwinan adalah menyambungkan hubungan di antara berbagai kabilah (suku), agar dapat saling sepakat dan tolong menolong. Disebutkan juga bahawa alasan disebalik tegahan untuk melakukan perkahwinan dengan orang yang memiliki hubungan kerabat atau suku, kerana ikatan perkahwinan tidak dapat dipastikan untuk tidak terjadi perceraian, sehingga sekiranya terjadi perceraian dalam sebuah perkahwinan di antara kerabat atau suku dikuatiri akan merosak hubungan kekerabatan atau kesukuan.

Imam al-Ghazali juga menggesa untuk tidak mengkahwini perempuan yang memiliki hubungan kekerabatan yang dekat.

Dan Imam Syafie juga menyatakan sesuatu kaum yang tidak mengkahwinkan anak-anak perempuan mereka dengan orang luar (suku) dan tidak mengkahwinkan anak lelaki mereka dengan perempuan luar (suku) akan mendapatkan anak-anak yang tidak cerdik.

  1. PANDANGAN SYARAK TERHADAP SISTEM PERKAHWINAN EKSOGAMI YANG DIAMALKAN MASYARAKAT ADAT PERPATIH

Berdasarkan kepada pandangan dari para Sahabat dan fuqaha (sarjana Islam) tentang tegahan untuk melakukan perkahwinan dengan orang yang memiliki hubungan kekerabatan atau suku, membuktikan bahawa sistem perkahwinan eksogami yang diamalkan masyarakat adat Perpatih selaras dengan pandangan syarak, seperti yang disebut oleh Sahabat Nabi dan para sarjana Islam.

Meskipun masyarakat Adat Perpatih memiliki identiti yang tersendiri dalam amalan perkahwinan, ia tidak bermakna adat ini berasingan dan berjalan secara bersendirian. Khususnya yang berkaitan dengan persoalan agama. Syarat-syarat perkahwinan di sisi hukum syarak tetap berfungsi secara mutlak seperti mana dalam masyarakat melayu Islam yang lain. Dalam masyarakat adat Perpatih di Negeri Sembilan ada perbilangan yang harus dirujuk dalam perkahwinan, seperti berikut:

Syarak tidak menghalang,

Adat tidak menggalang

Yang bermaksud adat dan syarak perlu berjalan secara bersama-sama, dan tidak boleh mengetepikan hukum syarak semata-mata demi adat. Dalam perbilangan yang masyhur adat Perpatih juga dinyatakan Adat Bersedikan Syarak, Syarak Bersendikan Kitabullah.

Konsep perkahwinan eksogami yang diamalkan oleh masyarakat Adat Perpatih bertujuan untuk memberikan penekanan kepada membesarkan suku demi mewujudkan satu kesatuan masyarakat yang bersatu. Hal ini juga bersesuaian dengan konsep ta’aruf (saling mengenali satu sama lain) dan memperluaskan hubungan umat seperti yang diserukan oleh al-Qur`an dalam surah al-Hujurat: 13

يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجلعناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير (الحجرات: 13)

Yang bermaksud:

 “Wahai umat manusia, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain”. (Q.S: Al-Hujurat 13)

 

  1. ADAT SEMENDA DAN MENYEMENDA YANG DIAMALKAN OLEH MASYARAKAT ADAT PERPATIH

Perkahwinan yang terjadi antara suku dinamakan sebagai semenda dan menyemenda dalam Adat Perpatih. Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita dari masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan akan berpindah duduk di rumah isterinya (ibu bapa mertua) sebagai tempat kediamannya yang baru. Si lelaki akan hidup di situ dan menjadi salah satu dari keluarga isterinya. Lelaki yang duduk di kalangan suku isterinya menjadi orang semenda kepada suku isterinya. Dan suku si isteri menjadi tempat semenda kepada si suami. Apabila pasangan ini mendapat anak sama ada lelaki atau perempuan, maka anak itu akan bersuku kepada suku ibunya. Dan anak-anak ini kelak tidak memiliki sebarang halangan untuk berkahwin dengan siapa-siapa juga dari suku bapaknya kecuali ada halangan syarak.

  1.  PANDANGAN SYARAK BERKENAAN SUAMI DUDUK DI RUMAH ISTERI?

Dalam Islam menyediakan tempat tinggal adalah salah satu kewajipan yang harus ditunaikan oleh seorang suami ke atas isterinya. Dan isteri memiliki hak untuk menuntut pemberian tempat tinggal. Namun sekiranya si isteri memiliki tempat tinggal sendiri, dan si suami secara suka rela bersetuju untuk duduk di rumah steri, maka tidak ada sebarang halangan di sisi hukum syarak. Kerana rumah tersebut adalah milik si isteri maka tidak ada halangan bagi suami untuk duduk di rumah isteri. Berdasarkan kepada firman Allah SWT berkenaan pemberian sebahagian mas kahwin untuk suami:

فإن طبن لكم عن شيء منه نفسا فكلوه هنيئا مريئا (النساء: 4)

Maksudnya:

“kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal itu) sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya” (Q.S: An-Nisaa’ 4).

Baginda Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa:

لا يحل مال امرئ مسلم إلا عن طيب نفس

Ertinya:

“Harta yang halal bagi seorang muslim adalah yang diperoleh secara baik”.

Amalan yang diamalkan dalam perkahwinan masyarakat Adat Perpatih dengan menempatkan suami di rumah isteri adalah perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Selama mana pihak suami bersedia dengan suka rela untuk duduk di rumah isteri, dan pihak isteri juga telah melepaskan haknya untuk memperoleh tempat tinggal dari suaminya.

 

KEPATUHAN SYARIAH PERKAHWINAN DALAM AMALAN ADAT PERPATIH

Sistem matrilineal yang diamalkan oleh masyarakat Adat Perpatih DI Negeri Sembilan dalam  amalan adat perkahwinan khasnya sistem eksogami dan preferential adalah sebahagian daripada uruf atau adat yang diperakui oleh islam sebagai salah satu instrumen pengambilan hukum syarak.

Selagimana amalan ini tidak bertentangan dengan nas al-Qur`an dan hadis Rasulullah SAW serta ia mengandung unsur maslahah (kebaikan), maka harus untuk diamalkan. Bahkan Rasulullah SAW ketika hendak menerapkan suatu hukum sentiasa memastikan bahawa uruf atau adat yang telah dilaksanakan oleh suatu kaum yang membawa nilai-nilai maslahat diraikan dan diambil kira.