MODUL 2

KEMPIMPINAN DALAM ADAT PERPATIH

SINOPSIS

MODUL 2 mengandungi huraian maksud dan sistem kepimpinan yang diamalkan dalam adat Perpatih. Konsep, falsafah dan nilai-nilai yang terkandung di dalam sistem kepimpinan ini dijelaskan bagi mengetahui keunikan dan kelebihan yang ada. Disamping itu, pandangan syarak dalam isu-isu kepimpinan juga dirangkumkan menerusi analisa perbandingan daripada ulama dan pakar adat.

OBJEKTIF MODUL

Menjelaskan konsep pemimpin dalam amalan adat Perpatih bagi mendapatkan penjelasan berkaitan sistem kepimpinan adat Perpatih.

  1. Mengetahui sejarah pemimpin Negeri Sembilan (Yang Dipertuan Negeri Sembilan)
  2. Menghuraikan sistem memilih pemimpin dan struktur kepimpinan adat Perpatih
  3. Membincangkan keunikan sistem kepimpinan adat Perpatih dan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
  4. Menjelaskan nilai-nilai luhur sistem kepimpinan adat Perpatih dan pandangan syarak ke atas amalan adat Perpatih.

KONSEP PEMIMPIN DALAM ADAT PERPATIH

Dalam Adat Perpatih sistem pemerintahan dan struktur kepimpinan diasaskan oleh unit terkecil iaitu rumpun. Rumpun adalah satu keluarga yang mempunyai keturunan sekurang-kurangnya tiga generasi dan tinggal setempat. Gabungan beberapa rumpun akan membentuk ruang dan gabungan beberapa ruang seterusnya akan membentuk perut. Kebiasaannya perut adalah kelompok masyarakat yang berasal dari suku yang sama. Perut akan diketui oleh Buapak, dan Buapak berfungsi dalam hak kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian, pembahagian harta dan menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku dalam perut. Buapak seterusnya akan memilih Lembaga. Lembaga pula akan memilih Undang. Setiap suku akan diketuai oleh Lembaga. Jawatan lembaga dilantik secara bergilir mengikut suku. Lembaga mempunyai kuasa dalam melantik dan memecat Penghulu atau Undang.

Di Negeri Sembilan, jawatan Penghulu atau Undang dilantik dari Suku Biduanda iaitu suku asli di Negeri Sembilan. Sistem pemerintahan dan kepimpinan Adat Perpatih dapat dilihat melalui perbilangan berikut:

Bulat anak buah,

Melantik buapak,

Bulat buapak,

Melantik lembaga,

Bulat lembaga,

Melantik penghulu / undang,

Bulat penghulu / undang melantik keadilan (raja).

Melalui perbilangan tersebut dapat dilihat bagaimana keadaan politik dan pemilihan pemimpin dalam Adat Perpatih. Mereka mengamalkan sistem pemilihan dari bawah ke atas iaitu sistem bertingkat. Dapat dilihat juga berdasarkan pemilihan bertingkat tersebut memperlihatkan kepimpinan dalam Adat Perpatih berlandaskan konsep muafakaat demokrasi dan budi. Hal ini dapat dilihat dalam perbidalan seperti berikut:

Memusat dari bumi,

Perpuncak ke langit.

Berjenjang naik,

Bertangga turun.

Berdasarkan perbidalan tersebut dapat dilihat konsep kepimpinan yang amalkan oleh masyarakat pemangamal Adat Perpatih.

SEJARAH PEMIMPIN NEGERI SEMBILAN (YANG DIPERTUAN BESAR)

Yang di-Pertuan Besar adalah pemerintah dan ketua negeri bagi Negeri Sembilan mengikut sistem raja berperlembagaan moden negeri berkenaan sejak tahun 1898. Sebelum itu, Yang di-Pertuan Besar dikenali sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti dan menjadi raja memerintah di tanah jajahan adat meliputi Seri Menanti, Inas, Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol di Negeri Sembilan.

Permulaan perlantikan Yang di-Pertuan Besar ini berlaku pada abad ke-17 Masihi. Sebelum itu, Negeri Sembilan adalah di bawah takluk Kesultanan Melayu Johor. Pada separuh pertama abad ke-17 itu, Kerajaan Kesultanan Melayu Johor sentiasa diancam oleh orang Acheh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636). Ini menjadikan Kerajaan Kesultanan Melayu Johor tidak berupaya untuk melindungi Negeri Sembilan.

Pada masa yang sama, orang Bugis diketuai oleh Daeng Kemboja memasuki Negeri Sembilan membuat huru hara dan memaksa orang-orang Negeri Sembilan berketurunan Minangkabau mengakui Daeng Kemboja sebagai raja di Negeri Sembilan. Kaedah ini dilihat bertentangan dengan pendirian orang-orang Minangkabau di sini.

Satu utusan telah mengadap Sultan Johor untuk meminta supaya seorang raja dipertuankan di Negeri Sembilan. Bagaimanapun, permintaan ini tidak dapat ditunaikan dan Sultan Johor telah membenarkan orang Negeri Sembilan ini mencari anak raja dari negeri lain untuk dipertuankan di Negeri Sembilan.

Maka pemimpin setempat di Negeri Sembilan menghantar wakil untuk mengadap Yang di-Pertuan Pagar Ruyung di Tanah Minangkabau. Permintaan utusan orang Negeri Sembilan ini diperkenankan dan melantik Raja Melewar menjadi Yamtuan Besar Seri Menanti yang pertama. Raja Melewar telah mengetuai angkatan perang orang Negeri Sembilan menghalau Daeng Kemboja dari tanah Negeri Sembilan.

Mengikut sejarah yang direkodkan, pemimpin yang mula-mula menggunakan gelaran Yang di-Pertuan Besar dalam sejarah Negeri Sembilan adalah Tunku Muhammad Yam Tuan Seri Menanti yang dilantik pada 29 April 1989. Baginda adalah merupakan putera sulung kepada Tuanku Antah ibni Almarhum Yamtuan Radin (Yam Tuan Antah). Baginda juga merupakan Raja atau Yam Tuan yang ke-7 Negeri Sembilan atau Seri Menanti pada ketika itu.

SISTEM PEMILIHAN PEMIMPIN (YANG DIPERTUAN BESAR) DALAM ADAT PERPATIH DI NEGERI SEMBILAN

Mengikut falsafah dan sejarah kepimpinan masyarakat di Minangkabau, Sumatera Barat yang merupakan asal usul adat Perpatih yang masih diamalkan di Malaysia sehingga ini, kepimpinan adat Perpatih adalah mengutamakan kebajikan dan kebijaksanaan yang bersumber dan merujuk kepada kitabullah dan sunnah Nabi SAW. Justeru, tiada percanggahan diantara adat dan agama (syarak), bahkan yang berlaku adalah satu penyatuan daripada keduanya. Nilai dan falsafah inilah yang ada di dalam sistem kepimpinan adat Perpatih yang telah mengakar dan diyakini oleh masyarakat di Negeri Sembilan. Berdasarkan nilai dan falsafah inilah sistem kepimpinan di Negeri Sembilan memiliki keunikannya yang tersendiri.

Tidak seperti lazimnya sistem kepimpinan di negeri lain, Negeri Sembilan mempunyai perbezaan dalam kepimpinan dan urusan pertabalan serta penggantian pewaris takhta. Jika dalam amalan adat Temenggung kebiasaannya apabila berlaku kemangkatan, pengganti Sultan dilantik dari kalangan putera Almarhum yang sulung. Walaubagaimanapun, penggantian Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah dipilih berdasarkan kesepakatan dan perakuan Undang Yang Empat, iaitu: Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.

Sistem pemilihan Raja di Negeri Sembilan dengan cara seperti ini telah bermula sejak tahun 1760 ketika Pemegang-Pemegang Adat dan Pemegang Undang-Undang dari negeri ini ke Minangkabau dan terus ke Pagar Ruyong untuk mencari seorang ketua atau raja. Raja Pagar Ruyong ketika itu telah berkenan untuk mengirimkan seorang puteranya ke Negeri Sembilan yang bernama Raja Mahmud, yang kemudiannya dipanggil Raja Melewar.

Semua kisah institusi Diraja Negeri Sembilan bermula selepas ini dan walaupun wujud sengketa di antara Kelana Putera dan Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan yang tidak memperakui Raja Melewar sebagai Yam Tuan ketika itu, satu rundingan telah berlaku di antara Datuk Moyang Salleh dengan mereka yang bersengketa. Akhirnya terbinalah ‘Tiang Balai’ serta tertegaklah ‘Tiang Istana’ di Seri Menanti pada 17 Syawal 1192 Hijrah.

Maka termaktub aturan adat yang telah disempurnakan seperti berikut: Tanah mengandung Seri Menanti, Tanah kerajaan di Penajis, Balai melintang di Sungai Ujong, Balai bertingkat di Johol, Yang mengatur bilangan Adat di Jelebu, Yang mengukurkan di Rembau.

KEUNIKAN SISTEM KEPIMPINAN DAN GELARAN YANG DIPERTUAN BESAR DI NEGERI SEMBILAN

Lazimnya, raja adalah simbol kedaulatan Negara. Jika di negeri-negeri lain perkataan Sultan digunakan bagi merujuk kepada Raja. Gelaran Yang di-Pertuan Besar pula digunakan di Negeri Sembilan bermaksud Yang di-Pertuankan atau YamTuan. Ia ada kaitan dengan bermulanya sejarah wujudnya Institusi Diraja di Negeri Sembilan. Seperti disebut dalam sejarah di Negeri Sembilan, pemegang-pemegang adat ketika itu mencari seorang pemerintah yang boleh memimpin masyarakat orang-orang Melayu Minangkabau. Negeri Sembilan ketika itu di bawah pemerintahan Johor. Disebabkan oleh gangguan pihak luar (Daeng kemboja dari Bugis) dan keadaan huru-hara yang berlaku, maka Undang bermuafakat mengadap Sultan Johor meminta izin bagi mendapatkan seorang raja dari Minangkabau atau Pagar Ruyung. Sultan Johor memberi perkenan kerana tidak berupaya menghadapi ancaman musuh yang bertubi-tubi.

Raja Mahmud atau Raja Melewar putera kepada Sultan Abdul Jalil telah dititahkan oleh ayahandanya untuk ke Negeri Sembilan sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sembilan Yang Pertama. Bagaikan suatu tradisi pemegang-pemegang adat menjemput seorang putera dari Pagar Ruyung apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar. Ia berlaku pada tiga pemerintahan iaitu pemerintahan Raja Melewar (1773-1795), pemerintahan YamTuan Hitam (1795-1808) dan pemerintahan YamTuan Lenggang (1808-1824). Dengan pertabalan YamTuan Radin bermulalah era warisan takhta dari anak raja tempatan. Oleh yang demikian, pewaris takhta hanya dilantik dari jurai keturunan Raja Radin Ibni Raja Lenggang sebagaimana termaktub dalam Fasal 7 (3), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 iaitu:

Tiada boleh dipilih sesiapa menjadi Yang di-Pertuan Besar bagi Negeri ini melainkan ianya seorang Melayu laki-laki yang sempurna akal dan memeluk agama Negeri ini dan anak dalam nikah yang berketurunan daripada Raja Radin Ibni Raja Lenggang mengikut pihak lelaki”.

Selain kuasa autonomi Undang Yang Empat di luak masing-masing, kuasa tradisional Undang Yang Empat adalah mengenai penentuan Yang di-Pertuan Besar. Tatacara pemilihan pengganti Yang di-Pertuan Besar telah dinyatakan dalam Fasal 7 (4) iaitu: “apabila berlaku kemangkatan Yang di-Pertuan Besar dengan meninggalkan putera-puteranya, maka Undang Yang Empat hendaklah bersegera memilih gantinya di antara putera-putera itu”.

Senario ini dapat diperhatikan semasa kemangkatan Almarhum Tuanku Ja’afar pada 27 Disember 2009. Pemasyhuran pengganti takhta Yang di-Pertuan Negeri Sembilan telah melakar sejarah institusi diraja Negeri Sembilan, setelah hampir 42 tahun adat istiadat Perpatih ini dapat diperlihatkan kembali kepada rakyat jelata. Kuasa Undang Yang Empat dilaksanakan dalam mesyuarat secara sulit mengenai penentuan bakal pengganti Yang di-Pertuan Besar. Calon pengganti terdiri daripada putera-putera Almarhum Tuanku Ja’afar iaitu Tuanku Laksamana Tunku Naquiyuddin Tunku Ja’afar, Tuanku Muda Serting Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar. Walaubagaimanapun, tiada seorang dari kalangan putera-putera ini dipilih sebagai pengganti.

Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk memilih waris lain sekiranya pada pendapat Undang Yang Empat tiada seorang pun putera-putera itu berkelayakan dan berkebolehan maka hendaklah dipilih keturunan kedua dan seterusnya seperti berikut:

  1. Kekanda atau adinda lelaki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat.
  2. Ayahanda saudara sebelah ayahanda Yang di-Pertuan Besar yang mangkat.
  3. Cucunda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat.
  4. Putera kekanda atau adinda laki-laki Yang di-Pertuan Besar yang mangkat.

Berdasarkan kesepakatan, Undang Yang Empat telah memilih anakanda saudara Almarhum iaitu Tunku Mukhriz Tuanku Munawir satu-satunya putera dari enam adik-beradik daripada perkahwinan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-Sembilan iaitu Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Durah.

Maka, pada 29 Disember 2009, Tuanku Mukhriz dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang Ke-Sebelas oleh Dato’ Undang Yang Empat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, selepas kemangkatan Tuanku Ja’afar. Sistem perlantikan ini merupakan amalan yang telah berlaku sebelum ini seperti dalam sejarah pelantikan pemimpin (Yam Tuan) di Negeri Sembilan yang bukan semata-mata atas dasar keturunan tetapi juga berpandukan pada syura (keputusan bersama). Berikut adalah senarai pemimpin Negeri Sembilan dan jenis perlantikannya:

  1. Raja Melewar (1773-1795) – dijemput.
  2. YamTuan Hitam (1795-1808) – dijemput.
  3. YamTuan Lenggang (1808-1824) – dijemput.
  4. YamTuan Radin (1831-1861) – putera
  5. YamTuan Imam (1861-1869) – adinda
  6. YamTuan Antah (1872-1887) – putera Raja Radin
  7. Tuanku Muhammad (1887-1933) – putera
  8. Tuanku Abdul Rahman (1933-1960)  – putera
  9. Tuanku Munawir (1960-1967) – putera
  10. Tuanku Ja’afar (1967-2008) – adinda
  11. Tuanku Mukhriz (2008-sekarang ) – putera Tuanku Munawir

 

Sistem bermesyuarat (syura) dan kesepakatan (muafakat) diantara Undang Yang Empat dalam memilih Yam Tuan Imam (adinda Yam Tuan Radin pada 1861), dan pemilihan Tuanku Antah, anakanda saudara Yam Tuan Imam, serta perlantikan Tuanku Ja’far (adinda Tuanku Munawir pada 1967) dan bukannya putera baginda (Tuanku Mukhriz) sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah merupakan simbol keadilan dan permuafakatan dalam sistem kepimpinan di Negeri Sembilan Darul Khusus sebagai amalan adat Perpatih.

Sistem pemilihan yang unik ini telah menjadi cirikhas Negeri Sembilan dalam melantik pemimpin (Yang di-Pertuan Besar) yang berbeza dengan perlantikan pemimpin (Sultan) di negeri-negeri lain. Inilah yang dikatakan uniknya amalan Adat Perpatih ini. Walaubagaimanapun, tidak dapat disangkal Yang di-Pertuan Besar adalah simbol keadilan Negeri Sembilan Darul Khusus.

KAEDAH MEMILIH PEMIMPIN DALAM ADAT PERPATIH

Kaedah yang diinstitusikan dalam Sistem Adat Perpatih ketika memilih pemimpin diantaranya disebut dalam Teromba berikut:

Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Undang
Bulat Undang menjadikan Raja dan menegakkan keadilan

 

HIRARKI SISTEM PEMERINTAHAN DAN KEPIMPINAN MENGIKUT ADAT PERPATIH

Rajah 1: Hirarki Sistem Pemerintahan Dan Kepimpinan Mengikut Adat Perpatih