MODUL 1

SEJARAH DAN ASAL-USUL ADAT PERPATIH

SINOPSIS

MODUL 1 mengandungi huraian sejarah dan asal-usul adat Perpatih serta penjelasan tentang takrifan adat Perpatih secara umum, prinsip-prinsip adat Perpatih dan amalannya di Malaysia. Disamping itu kepentingan dan nilai-nilai luhur yang terkandung di dalam adat Perpatih juga akan dihuraikan bagi memberikan gambaran yang jelas daripada adat ini.

OBJEKTIF MODUL

  1. Menjelaskan sejarah dan asal-usul adat Perpatih bagi mendapatkan maklumat penting disebalik kewujudan adat ini di Malaysia.
  2. Mengetahui takrifan dan maksud adat Perpatih secara umum bagi membezakannya dengan adat lain yang wujud di Malaysia.
  3. Menghuraikan prinsip-prinsip adat Perpatih dan amalannya di Malaysia.
  4. Membincangkan kepentingan dan nilai-nilai luhur yang terkandung di dalam adat Perpatih.

PENDAHULUAN

Adat secara umumnya merupakan kebiasaan yang diamalkan oleh satu-satu masyarakat dan sesiapa yang keluar daripada norma tersebut dianggap melanggar adat. Atas dasar inilah pepatah melayu mengatakan “biar mati anak, jangan mati adat”. Di Tanah Melayu, adat diwarisi turun temurun dan menjadi ikutan masyarakat melayu tradisional. Adat ini kemudiannya diolah menjadi undang-undang yang meliputi segala aspek kehidupan. Undang-undang ini terbahagi kepada tiga (3) iaitu undang-undang bertulis, undang-undang tidak bertulis dan undang-undang Islam.

Undang-undang tidak bertulis terbahagi kepada dua iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Kedua-dua adat ini dikatakan berasal dari Sumatera Barat dan dikembangkan oleh dua beradik iaitu Datuk Ketemenggungan dan Datuk Pepatih Nan Sebatang. Adat Temenggung ini diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Daerah Naning di Melaka.

Secara amnya, Adat Perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh orang-orang di Negeri Sembilan masih lagi releven untuk diamalkan dan setiap lapisan masyarakat negeri ini kerana adat itu boleh menerima perubahan dari masa ke semasa. Ini dapat dilihat dari segi politik di mana sistem Yam Tuan Besar dan Dato’-Dato’ Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat termasuklah Institusi Dato’ Lembaga dan Buapak-Buapak. Dari aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan. Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik.

ADAT PERPATIH SECARA UMUM

Adat Perpatih adalah merujuk kepada struktur dan konsep amalan sosio-budaya yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau dan di Malaysia amalan adat ini terdapat di beberapa tempat seperti Negeri Sembilan dan Naning, Melaka.

Masyarakat di Negeri Sembilan adalah sangat sinonim dengan amalan Adat Perpatih kerana majoriti mereka mengamalkannya khususnya di daerah Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau, Seremban dan Tampin (Linggi dan Port Dickson tidak mengamalkan Adat Perpatih kerana pengaruh Adat Temenggung. Masyarakat di Kampung Bangkahulu di daerah kecil Gemas yang terletak di bawah jajahan daerah Tampin juga tidak mengamalkan Adat Perpatih kerana mereka mengamalkan sistem sosial Bangkahulu).

Selain Negeri Sembilan, terdapat juga beberapa kawasan lain di luar daripada Negeri Sembilan yang turut mengamalkan sistem Adat Perpatih seperti yang diamalkan oleh masyarakat Naning di Alor Gajah, Melaka dan juga di Kampung Lukut, Kota Tinggi Johor dan Kampung Sasapan Batu, Rembau di Beranang, Selangor.

Sistem Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk sistem politik dan pentadbiran, ekonomi, undang-undang, pewarisan, sosial dan juga budaya. Ia adalah satu sistem yang kompleks mencakupi bidang pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, keadilan, adat resam dan kemahiran-kemahiran serta tabiat-tabiat manusia yang lain di dalam masyarakat yang didasarkan atas pemerhatian alam sekeliling dan masyarakatnya. Setiap peraturan atau adat itu ada rasional dan sebab-sebabnya.

Adat Perpatih juga berpaksikan kepada asas agama Islam dengan menjadikan adat itu hendaklah bersandar dan berpegang kepada ajaran Islam. Ini jelas daripada kata-kata perbilangan berikut:

“Muafakat mencari benar

Bergaduh di hulu habis di hulu

Bergaduh di hilir habis di hilir

Di tengah-tengah mencari damai

Buang yang keruh ambil yang jernih

Adat mencari benar

Adat bersandar Kitabullah”.

LIMA (5) PRINSIP ADAT PERPATIH

Adat Perpatih Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama, iaitu seperti berikut:

1. Keturunan dikira melalui nasab ibu.

Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.

2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri.

Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka. Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

3. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang.

Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.

4. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku.

Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

5. Pembahagian harta.

Dalam amalan adat Perpatih pihak perempuan diberi kelebihan dan keutamaan dalam pembagian harta pusaka yang berupa tanah adat atau yang dikenali sebagai pusaka tinggi. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Diantara sebab pusaka tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih.  Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup. Adapun harta pusaka lain seperti tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian atau yang lainnya, pembahagiannya adalah menurut hukum Islam (faraid).

ADAT PERPATIH DI MALAYSIA

Adat Perpatih yang diamalkan di Malaysia, khasnya di Negeri Sembilan dan Naning, Melaka mempunyai sejarah yang lama di tanah Minang sebelum menyeberangi Selat Melaka sekitar abad kelima belas masihi.

Sebelum kedatangan Inggeris ke Negeri Sembilan, undang-undang kemasyarakatan setempat ialah adat Perpatih yang dijalini hukum syarak. Walau pun pertelingkahan antara pemimpin sering berlaku di negeri beradat itu, peranan adat Perpatih tetap terurus dan berfungsi.

Adat adalah juga sistem politik yang mengaturkan bagaimana masyarakat ditadbirkan, Adat Perpatih yang terasas di Negeri Sembilan ini adalah adunan adat Perpatih yang diamalkan di Minangkabau dengan adat tempatan (penduduk asal) dan disesuaikan dengan hukum syarak. Maka itu terdapat unsur-unsur kelainan sekiranya diteliti berbanding dengan yang asal di Minangkabau. Dalam budaya Minangkabau terdapat institusi merantau, berdagang atau berhijrah.

Perkembangan adat Perpatih di Negeri Sembilan adalah melalui carahidup yang dibawa oleh orang-orang Minang yang datang berdagang di Melaka dan yang membuka kawasan penempatan. Wilayah pantai timur Sumatera termasuk sebahagian wilayah Minangkabau, pada abad ke 15 adalah wilayah Kesultanan Melaka yang meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Maka itu kedatangan peneroka dari Minangkabau adalah suatu amalan yang biasa.

Penduduk asal wilayah yang diterokai oleh orang Minangkabau ini adalah masyarakat yang mengamalkan sistem matrilineal. Oleh itu, adat Perpatih yang dibawa oleh orang-orang Minangkabau yang mengamalkan sistem berkenaan diterima dan dapat berkembang.

Percambahan adat Perpatih Minangkabau dengan adat tempatan penduduk asal dan perkembangan agama Islam di wilayah kesultanan Melaka inilah yang membentuk Adat Perpatih Negeri Sembilan. Kebanyakan di antara perantau ini adalah dari wilayah Paya Kumbuh, Batu Hampar, Tanah Datar, Sri Lemak dan lain-lain kawasan Minang yang kemudiannya dijadikan asas suku yang terdapat di Negeri Sembilan.

Suku Biduanda merupakan suku utama dalam sistem adat Perpatih di Negeri Sembilan. Suku ini adalah suku yang terbesar dan terdapat di dalam setiap wilayah adat atau luak, kerana Biduanda adalah suku bagi keturunan daripada penghuni asal. Dari suku ini juga wujud Biduanda Waris yang diterima oleh adat sebagai waris yang berhak ke atas negeri dan jawatan Penghulu Luak.

JENIS-JENIS ADAT PERPATIH

Secara keseluruhannya, sistem adat Perpatih di Negeri Sembilan ini boleh dikategorikan kepada empat (4) jenis atau dalam istilahnya dikenali sebagai Adat nan empat jenjang iaitu: 1. Adat Yang Sebenar Adat, 2. Adat Yang Diadatkan, 3. Adat Yang Teradat, 4. Adat Istiadat.

  1. ADAT YANG SEBENAR ADAT

Adat yang sebenar adat adalah kenyataan yang berlaku tetap di alam, tidak pernah berubah oleh keadaan tempat dan waktu. Kenyataan itu mengandungi nilai-nilai, etika-etika dan undang-undang. Di dalam ungkapan Minangkabau dinyatakan sebagai adat yang tidak lekang kerana panas dan tidak lapuk kerana hujan. Adat Yang Sebenar Adat bersumber dari alam. Pada hakikatnya, adat ini ialah kelaziman yang terjadi bersesuaian dengan kehendak Allah SWT. Oleh itu, adat Perpatih tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Inilah yang melahirkan konsep dasar pelaksanaan adat dalam kehidupan masyarakat adat Perpatih, iaitu Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah dan Syarak Mengata, Adat Memakai. Adat jenis ini menempati kedudukan tertinggi dari empat jenis adat dalam adat Perpatih. Boleh dikatakan undang-undang adat, ketentuan adat, nilai-nilai dalam masyarakat serta peraturan-peraturan yang berlaku adalah bersumber daripada Adat Yang Sebenar Adat.

Adat yang sebenar adat ini juga adalah hukum alam. Ia adalah ketentuan Ilahi daripada Allah SWT. Sebagai contohnya sifat api itu membakar, sifat air itu membasahi, benda-benda tajam itu melukai dan sebagainya. Adat ini adalah undang-undang, dan dalam dunia moden hari ini ialah undang-undang yang telah diwartakan atau digezetkan sama ada diperingkat Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri.

  1.  ADAT YANG DIADATKAN

Adat yang diadatkan adalah adat yang dibuat, dan dirancang serta disusun oleh nenek moyang orang Minangkabau untuk diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Peraturan yang berupa adat yang diadatkan ini disampaikan dalam petatah dan petitih, pantun, dan ungkapan bahasa yang berkias hikmah. Masyarakat Minangkabau mempercayai dua orang tokoh sebagai pembuat dan perancang, serta penyusun adat yang diadatkan, iaitu Datuk Perpatih Nan Sebatang dan Datuk Ketemenggungan. Intipati dari adat yang diadatkan ini ialah demokrasi, berdaulat kepada rakyat, dan mengutamakan mesyuarat untuk mufakat. Dengan kata lain adat yang diadatkan adalah adat yang diucap dan dipakai.

Adat jenis ini merupakan adat yang berlaku secara umum dalam Adat Perpatih. Sebagai contohnya harta pusaka kaum diturunkan mengikut nasab ibu, sedangkan harta pencarian diwariskan kepada anak-anak daripada orang tua mereka.

  1.  ADAT YANG TERADAT

Adat yang teradat adalah ketentuan adat yang tumbuh dan terjadi kerana kebiasaan masyarakat yang bukan hasil daripada musyarawarah para pemangku adat. Misalnya jika bertandang ke rumah orang, lazim mengucapkan salam terlebih dahulu. Jika dalam sesuatu jamuan, apabila selesai makan sebelum orang lain siap, tidak boleh terus mencuci tangan tetapi menunggu orang lain selesai makan. Adat ini boleh juga dikatakan sebagai kelaziman atau tabii, seperti adat merisik, adat bertunang, adat menjemput pengantin, adat mengembang cincin, adat berkayu berakar dan lain-lainnya. Oleh itu, semua kebiasaan yang berkembang kerana tiru-meniru dan perkara yang tidak diharuskan oleh adat dan agama tergolong dalam kategori adat yang teradat ini. Justeru, adat yang taradat ini dapat diperbaiki, diubah, dan diganti jika sekiranya tidak menepati kehendak syarak (hukum agama).

  1.  ADAT ISTIADAT

Adat istiadat merupakan adat yang dilakukan secara naluri. Sebagai contoh, orang tua lebih menyayangi cucu-cucunya berbanding anak-anaknya. Secara naluri kita menghormati orang-orang yang lebih tua daripada kita. Dikatakan adat yang ada sebelum Islam dan diterima oleh masyarakat, serta ianya bukan hukum alam adalah termasuk juga dalam kategori adat istiadat ini. Misalnya, sebuah negeri harus adanya masyarakat, mempunyai tempat mandi, memiliki jalan yang lebar, gelanggang untuk keterampilan kesenian negeri dan balai adat sebagai tempat untuk bermusyawarah dan lain-lain. Adat istiadat ini juga dikenali sebagai adat resam.