Kepimpinan

SISTEM KEPIMPINAN DALAM ADAT PERPATIH

Sistem pentadbiran dan pemilihan raja di Negeri Sembilan sejak sekian lama menggunakan aturan Adat Perpatih dan telah diiktiraf sebagai satu model terbaik. Sistem ini  juga telah menjadi salah satu rujukan utama dan tulang belakang yang membentuk Majlis Raja-Raja serta Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Berdasarkan analisis sejarah Majlis Raja-Raja, pemilihan Yang di-Pertuan Agong berkaitan memilih, menentukan kelayakan, memasyhurkan, menabal malah memecat Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong adalah berdasarkan contoh perlaksanaan yang sama oleh Undang Luak Yang Empat yang menjadi selaku ahli di dalam Dewan Keadilan dan Undang terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Banyak lagi persamaan-persamaan lain di antara Majlis Raja-Raja dengan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. Melalui kaedah saringan calon dan persetujuan melalui konsensus sebulat suara (Ijmak) dan demokrasi (Syura) menggunakan Adat Perpatih, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan dipilih sebulat suara untuk menaiki takhta oleh Undang Yang Empat.