KEPAKARAN USIM DIIKTIRAF MELESTARI ADAT PERPATIH DI NEGERI SEMBILAN

Seri Menanti Resort, Selasa (1 Mei 2018)

Negeri Sembilan sebagai negeri beradat semakin menyerlah dengan usaha gigih para pengamal dan pengkaji adat dalam melestari khazanah budaya dan adat Perpatih. Terdapat sebahagian masyarakat di Malaysia yang masih keliru terhadap amalan adat di Negeri Sembilan. Sebagai contoh kesalafahaman tersebut adalah amalan pewarisan harta pusaka dan susur galur di sebelah ibu (sistem matrilenial), serta mengutamakan pihak perempuan. Dalam usaha memberi pencerahan dan penjelasan terhadap kekeliruan ini kepakaran pensyarah fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia telah digunapakai untuk membantu. Penyelidikan dan kajian berkaitan amalan adat Perpatih patuh Syariah telah dijalankan disamping beberapa siri forum dan persidangan yang berkaitan dengan adat dan syarak. Terbaru, Lembaga Muzium Negeri Sembilan bekerjasama dengan Majlis Kerapatan Luak Tanah Mengandung telah menjemput dua orang pensyarah fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM Prof. Dr. Amir Husin Mohd Nor dan Dr. Mualimin Mohd Sahid sebagai panel ke sebuah Seminar Adat Perpatih bertajuk Adat Perpatih dan Syarak Berpisah Tiada. Seminar yang diadakan pada hari Selasa, 1 haribulan Mei 2018 di Seri Menanti Resort ini dihadiri oleh lebih kurang 150 orang dari kalangan penghulu luak dan pengamal adat Perpatih serta masyarakat di sekitar Negeri Sembilan. Kupasan isu-isu penting seputar amalan adat Perpatih dan Syarak  telah menarik ramai peserta seminar untuk turut serta bertanyakan soalan bagi merungkai kemusykilan berkaitan amalan adat yang diamalkan di Negeri Sembilan selama ini. Di akhir seminar satu penggulungan dibuat dengan mengetengahkan satu rumusan tentang kepentingan melestari dan menjaga amalan adat Perpatih ini sebagai satu kebanggaan masyarakat Negeri Sembilan kerana ianya selari dengan syarak. USIM sebagai satu Universiti Awam di Negeri Sembilan bersedia menjadi pakar rujuk dan pusat kajian adat dalam membantu kerajaan Negeri Sembilan bersama Lembaga Muzium Adat menjayakan program melestarikan adat Perpatih ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *