Kedudukan Undang Dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri

Kedudukan Dato’ Undang Luak di Negeri Sembilan diiktiraf menerusi Perkara 71 (2), Perkara 160, Perkara 181 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sebagai pemerintah (ruler) Luak Johol dan Raja bagi Negeri Sembilan bersama dengan Yang di-Pertuan Besar, Dato’ Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Undang Luak Jelebu dan Dato’ Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin.

Akta Tafsiran 1948 & 1967 juga mendefinisikan Dato’ Undang Luak sebagai Pihak Berkuasa Negeri, khususnya di jajahan takluk Luak dalam Negeri Sembilan.

Dato’ Undang Luak adalah juga ketua agama Islam bagi Luak di kawasan masing-masing. Dato’ Undang Luak juga adalah anggota Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, yang meliputi kesemua Dato’ Undang Luak yang empat, iaitu Dato’ Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Undang Luak Johol, Dato’ Undang Luak Jelebu, Dato’ Undang Luak Rembau, bersama dengan Tengku Besar Tampin dan Tunku Besar Seri Menanti serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dato’ Undang Luak yang empat ini mempunyai kuasa prerogatif memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada masa sama, Dato’ Undang Luak yang empat ini juga mempunyai kuasa prerogatif mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang didapati melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.

Peranan utama lain bagi Dato’ Undang Luak yang empat serta Tengku Besar Tampin adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung perkara berikut:

1. Pelantikan Menteri Besar,
2. Menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
3. Pengurniaan darjah kebesaran negeri,
4. Hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
5. Kedudukan tanah adat dan rizab Melayu dan,
6. Kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain,
7. Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *